Tuesday, 16 August 2011

Kenangan bulan Ramadhan

Memang masa berlalu pantas, pejam-celik pejam-celik dah masuk 16 hari berpuasa. Masa kanak-kanak bulan puasa ini memang satu tekanan dan ujian fizikal. Teringat pula teman-teman sewaktu di sekolah rendah. Macam-macam karenah dan perangai waktu sekolah. Bayangkan, pertamanya, kena dipaksa bangun pagi sebelum subuh untuk sahur; keduanya, ada kalanya dapat tidur selepas sahur ada masanya tidak dapat, kena terus siap untuk ke sekolah; ketiganya, apabila sampai di sekolah, rakan-rakan sekolah mulalah tanya soalan-soalan bengap. Contohnya "Hari ni kau puasa tak?" "Pagi tadi kau bangun sahur pukul berapa?". Salah jawap atau terkantoi jawap, memang sah kena kutuk dengan kawan-kawan kelas sampailah tamat waktu sekolah. Mana yang ada daya ketahanan dan ingin nampak macho, waktu sekolah memang sah dia puasa. Sampai rumah aje, terus ke dapur buka periuk nasi, makan apa yang ada. Perangai sengal kan.

Bila masuk sekolah menengah, yang ini lain gayanya. Mana yang baik akhlak, alhamdulillah sungguh, puasanya lengkap cukup sampailah ke hari Syawal. Mana yang 'macam haprak' punya akhlak, yang ini baik punya. Sahur tetap bangun macam biasa, puasa tetap macam biasa tapi tidaklah sampai ke penghujung. Ada yang mampu berpuasa & bertahan untuk 3 minggu; ada yang puasa selang seli ~ hari ini puasa, esoknya tidaklah sampai ke hari Syawal; Ada juga yang puasa hanya takat 1 minggu selebihnya terus sambut raya sampai hari krismas; ada pula setengah gaya puasa, berpuasa setengah hari sepanjang bulan ramadhan sampailah waktu raya, bagi alasan perut ada gastrik.

Waktu berada di Institute Pengajian Tinggi, yang ini lagi hebat, macam-macam gaya dan 1001 macam alasan untuk bulan puasa. Bila dikenangkan dan lihat rakan-rakan, teman-teman, kawan-kawan serta diri sendiri, kita sendiri akan geleng kepala. Macam manalah waktu tu boleh buat perangai sengal tak semengah. Yang syoknya, bangun sahur tetap bangun makan sama-sama siap masak lagi. Elok je nak siap ke lecture, tau-tau aje kat toilet dah keluar asap rokok berkepul-kepul. Kadang-kadang waktu petang tak ada kelas lecture, siap singgah kat lorong belakang kedai nak beli nasi mamak bungkus buat makan tengahari. Nak salahkan dan membebel pun tak boleh juga, maklumlah semua dah besar panjang. Budak 'U' pulak tu, kira adalah pelajaran dan boleh fikir sendiri.

Bila dikenang balik waktu tu, kita akan tersenyum sendiri dan lihat diri kita yang semakin meningkat umur serta bertambah matang. Tidak dinafikan, kita lihat waktu dahulu, tanggungjawab terhadap diri sendiri kurang jika dibandingkan dengan waktu sekarang. Bukanlah niat nak membuka pekung orang lain ataupun diri sendiri, hanya sekadar terkenang waktu ramadan zaman dulu-dulu. 

SELAMAT BERBUKA PUASA!